Ganjaran dunia & akhirat bg yg berpuasa

Assalamualaikum..
Abu Hurairah ra. meriwayatkan bahawa
Rasulullah SAW bersabda:
"Umatku telah dikurniakan dengan lima perkara
yang istimewa yang belum pernah diberikan
kepada sesiapa pun sebelum mereka.
Bau mulut daripada seorang Islam yang berpuasa adalah
terlebih harum di sisi Allah daripada bau haruman kasturi.
Ikan-ikan di lautan memohon istighfar (keampunan)
ke atas mereka sehinggalah mereka berbuka puasa".
Allah mempersiapkan serta menghiasi jannah
yang khas setiap hari dan kemudian berfirman kepadanya:
"Masanya telah hampir tiba bilamana hamba-hambaKu
yang taat akan meninggalkan segala halangan-halangan yang besar
(di dunia) dan akan mendatangimu."
Pada bulan ini syaitan-syaitan yang durjana
dirantaikan supaya tidak menggoda mereka ke arah
maksiat-maksiat yang biasa mereka lakukan
pada bulan-bulan selain Ramadhan.
Pada malam terakhir Ramadhan (orang-orang yang berpuasa ini)
akan diampunkan." Maka sahabat-sahabat Rasulullah SAW pun bertanya:
"Wahai Pesuruh Allah, adakah itu malam lailatul Qadar?
" Dijawab oleh Rasulullah SAW:
"Tidak, tetapi selayaknya seorang yang beramal
itu diberi balasan setelah menyempurnakan tugasnya."



Puasa ertinya menahan diri daripada makan dan minum
dan dari segala perbuatan yang boleh membatalkan puasa,
mulai dari terbit fajar hinggalah terbenam matahari dengan niat.
Umat Islam juga dikehendaki menahan diri daripada menipu,
berkata-kata yang buruk atau sia-sia,
dan daripada bertengkar atau bergaduh.
Ini kerana puasa merupakan medan latihan kesabaran,
kejujuran dan bertolak ansur sesama sendiri.
Maka secara tidak langsung,
puasa juga menolong menanam sikap yang baik dan berbudi.
Dan kesemuanya itu diharapkan berlanjutan ke bulan-bulan berikutnya,
dan tidak hanya pada bulan puasa.



Allah telah berfirman di dalam Quran yang maksudnya:
" Wahai orang-orang yang beriman,
telah wajib ke atas kamu berpuasa sebagaimana
telah diwajibkan ke atas umat-umat yang sebelum kamu,
semoga kamu menjadi orang yang bertakwa."


Surah Al Baqarah, ayat 183



Ditegaskan oleh Rasulullah SAW melalui sabdanya yang diriwayatkan oleh Ahmad,
An- Nasa'i dan Al Baihaqi dari Abu Hurairah,
yang bermaksud:
"Sesungguhnya telah datang kepada kamu bulan Ramadhan
bulan yang penuh berkat.
Allah telah fardhukan ke atas kamu berpuasa padanya.
Sepanjang bulan Ramadhan itu dibuka segala pintu Syurga
dan ditutup segala pintu neraka serta dibelenggu segala syaitan......."
MENURUT Imam Ibn Qudamah al-Maqdisi:
“Hikmah ialah gabungan antara ilmu dan amalan.
” Ibn Qutaibah menyatakan bahawa
“Tidaklah seseorang dinamakan hakim (bijaksana)
sehingga disekalikan antara ilmu dan amalan.
” Hikmah juga bermaksud rahsia atau maksud yang tersirat
yang kadang-kadang di luar jangkauan batasan akal manusia.
Sebagaimana diketahui, puasa pada bulan Ramadan adalah ibadat
yang difardukan oleh Allah. Kita melaksanakan
tanggungjawab keimanan kepada-Nya tanpa memandang
kepada sebarang kemungkinan yang berlaku
sebagai natijah daripada ibadat tersebut.
Begitu juga ibadat puasa yang mempunyai beberapa
hikmah dan faedah yang mungkin diketahui oleh sesetengah
orang tetapi banyak yang masih tersembunyi daripada pengetahuan kita.
Antara hikmah dan faedah puasa yang mungkin dapat dirumuskan ialah

Puasa yang sempurna akan menyedarkan hati orang yang beriman

bahawa dirinya di bawah perhatian Allah.

Ini kerana orang yang berpuasa akan berasa lapar dan dahaga

sebaik sahaja dia melalui sebahagian daripada waktu siangnya.

Nafsunya ingin makan dan minum namun perasaan

yang menyedari dirinya berpuasa menghalang keinginan tersebut

kerana dia melaksanakan perintah Allah.

Dalam menghadapi pertentangan ini,

hatinya sedar akan pemerhatian Allah terhadapnya,

lantas mengingati ketuhanan Allah dan keagungan kekuasaan-Nya

di samping sentiasa menyedari bahawa dirinya hamba yang tunduk patuh

kepada hukum Allah dan menurut segala kehendak-Nya.

Mengikut sebuah hadis,

syaitan berjalan dalam tubuh anak Adam mengikut perjalanan darah.

Justeru hendaklah kamu sempitkan perjalanannya dengan cara lapar.

Dalam erti kata lain berpuasa boleh melawan kehendak syaitan dan seterusnya

mengikut kehendak Allah. Ini bermakna orang yang berpuasa tidak terpengaruh

dengan pujuk rayu syaitan tetapi mempunyai tahap keimanan yang kukuh

lagi ampuh untuk menghadapi segala cabaran kehidupan.

Mengikut sebuah hadis, Rasulullah pernah bersabda:

Berpuasalah kamu nescaya kamu sihat.

Dalam Islam, kesihatan terbahagi kepada dua iaitu rohani atau jasmani.

Apa yang uniknya, puasa dapat menyembuhkan penyakit rohani dan jasmani

dan menggantikan kesihatan untuk kedua-duanya.

Ini terbukti dengan pengesahan oleh pakar-pakar perubatan moden bahawa

amalan berpuasa boleh menaiktarafkan kesihatan seseorang.

Kesihatan rohani sudah dinyatakan oleh Allah dalam konteks natijah puasa iaitu takwa.

Tidak diragui lagi bahawa kasih sayang Allah terhadap hamba-Nya dan

hamba pula menghampirkan diri kepada-Nya

akan menjauhkan mereka daripada maksiat,

mendekatkan diri kepada mentaati-Nya, dan segera membuat amal kebajikan.

Oleh itu, mereka sentiasa dalam keadaan yang betul dan

kehidupan yang sempurna.


Semoga puasa yang kita lakukan diterima sama ada puasa perut

daripada makanan, faraj daripada mengikut syahwat,

mata daripada memandang yang haram, telinga daripada mendengar yang haram,

tangan daripada mengambil yang haram,

kaki daripada pergi ke tempat yang dimurkai Allah,

lidah daripada segala kata nista dan cela dan seterusnya hati daripada nifaq dan segala sifat mazmumah.

Insya-Allah takwa daripada ibadat puasa akan bersama dengan kita. Amin.




Selamat berpuasa!



  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS
Read Comments

0 comments: