Surat untuk Adamku..

Adam,
Maafkan aku jika coretan ini memanaskan hatimu.
Sesungguhnya aku adalah hawa,
temanmu yang kau pinta semasa kesunyian disyurga dahulu.
Aku asalnya dari tulang rusukmu yang bengkok.
Jadi,tidak hairanlah jika perjalanan hidupku sentiasa inginkan bimbingan darimu.
Sentiasa mahu terpesong dari landasan kerana aku buruan syaitan.


Adam,
Maha suci Allah yang mentakdirkan kaumku
lebih ramai bilangannya dari kaummu dikala akhir zaman ini.
Itulah sebenarnya ketelitian Allah dalam urusannya,
kerana andainya Allah mentakdirkan bilangan kaummu
mengatasi kaumku nescaya merahlah dunia ini dengan darah manusia.
Kacau bilaulah suasana Adam sesama Adam bermusuh hanya kerana Hawa.
Buktinya cukup nyata dari peristiwa Habil dan Qabil.
Sehinggalah pada zaman cucu-cicitnya juga.
Jika begitu maka tidak selaraslah undang-undang
Allah Yang mengharuskan adam beristeri lebih dari satu
tetapi tidak melebihi empat orang dalam satu masa.


Adam,
Bukan kerana ramainya isterimu membimbangkan daku.
Bukan kerana sedikitnya bilanganmu merunsingkanku.
Tetapi aku risau,gundah dan gulana menyaksikan tingkahmu.
Sejak dahulu lagi telah kuketahui bahawa seharusnya
aku tunduk tatkala telah menjadi isterimu.
Patutlah terlalu berat lidahku berbicara untuk menyatakan isi hati ini.
Namun sebagai hamba Allah,
Aku sayang padamu.


Adam,
Sebagaimana didalam Al-Quran telah
menyatakan yang engkau diberi kuasa terhadap wanita.
Kau diberi amanah mendidikku.
Kau diberi tanggungjawab untuk menjagaku,
memerhati dan mengawasiku agar redha Allah sentiasa menaungi.
Tetapi Duhai Adam, lihatlah dunia kini.
Apa yang telah terjadi terhadap kaumku?

Kini, Aku dan kaumku telah ramai yang menderhakaimu.
Ramai yang telah menyimpang dari jalan yang telah ditetapkan.

Asalnya Allah mengkehendaki aku tinggal tetap dirumah.
Dijalan-jalan,dipasar di bandar-bandar bukanlah tempatku.

Jika terpaksa,
aku keluar dari rumah seluruh tubuhku ditutup
dari hujung rambut sehingga kehujung kaki.
Tapi realitinya kini, aku telah lebih dari yang sepatutnya.


Adam,
Mengapa kau biarkan daku begini?
Sememangnya aku ibu dan guru kepada anak-anakmu.
Tetapi kini, aku jadi ibu,guru dan aku jugalah yang memikul senjata.
Padahal engkau duduk sahaja.
Ada diantara kau yang menganggur tiada kerja.
Kau perhatikan sahaja aku panjat tangga dipejabat bomba.
Kainku tinggi menyingsing peha,mengamankan Negara.

Apakah kau sekarang tidak seperti dahulu?
Apakah sudah hilang kasih sucimu kepadaku?

Adam,
Marahkah kau jika ku katakan terpesongnya hawa
sekarang engkaulah yang harus dipersalahkan! Kenapa kau?
Bukankah orang sering bicara,
Jika anak jahat maka emak bapak yang tidak pandai mendidik,
Jika murid bodoh,guru tidak pandai mengajar.
Jadi secara formulanya, Aku binasa,kaulah puncanya!!!

Adam,
Kau selalu mengata,
Hawa memang degil!
Tidak mahu dengar kata! Tidak mudah makan nasihat!
Kepala batu!
Tetapi duhai Adam,
Seharusnya kau bertanya kepada dirimu,
Siapakah ikutanmu? Siapakah rujukanmu?
Dalam mendidik aku yang lemah ini.
Adakah ikutanmu Muhammad s.a.w?

Adakah rujukanmu Muhammad s.a.w?
Adakah akhlak-akhlakmu boleh dijadikan contoh buat kami kaum Hawa?

Adam,
Sebenarnya kaulah imam dan aku adalah makmummu.
Aku adalah pengikutmu-pengikutmu Kerana kaulah amir.
Jika kau benar maka benarlah aku. Jika kau lalai,lalailah aku.

Lupakah kau duhai Adam?
Kau punya satu kelebihan anugerah Tuhan.
Akalmu sembilan, nafsumu satu.Dan aku, akalku satu nafsuku beribu!
Dari itu Adam,gunakanlah ketinggian akalmu untuk membimbingku.

Pimpinlah tanganku kerana aku sering lupa dan lalai.
Seringkali aku tergelincir ditolak,disorong oleh nafsu dan kuncu-kuncunya.
Bimbing dan bantulah aku dalam menyelami kalimah Allah.
Perdengarkanlah daku kalimah syahdu dari TuhanMu
agar duniaku sentiasa dijalan rahmah.
Tiupkanlah roh jihad ke dalam dadaku agar
aku mampu tetap menjadi mujahidah kekasih Allah.

Adam,
Andainya kau masih lali dengan kerenahmu sendiri.
Masih segan mengikut langkah para sahabat baginda.
Masih gentar mencegah mungkar.
Maka kita tunggu dan lihatlah dunia ini akan hancur bila aku yang memerintah.
Malulah engkau Adam.
Malulah engkau pada dirimu sendiri.

Wallahualam.

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS
Read Comments

Cinta dan rindu

salam sayang..
Berbicara tentang rindu dan cinta, tidak dapat lari daripada soal hati dan rasa.

Ya, rindu dan cinta letaknya di hati - raja dalam kerajaan diri manusia.

Sabda Rasulullah saw:

"Bahawasanya di dalam jasad anak Adam ada seketul daging.

Apabila baik daging itu, baiklah seluruh anggotanya.

Sebaliknya, jika jahat daging itu, jahatlah seluruh anggotanya.

Ketahuilah daging itu ialah hati." Riwayat Al-Bukhari
Ini bermakna, rindu dan cinta yang harus bersemi di hati

mestilah rindu dan cinta yang ‘baik'.

Barulah hati akan menjadi baik, dan seluruh anggota jadi baik.

Tapi jika rindu dan cinta itu ‘jahat' maka jahatlah hati.

Akibatnya jahatlah seluruh anggota. Kata orang,

"berhati-hatilah menjaga hati

"Jangan dibiarkan hati itu penuh dengan rindu dan cinta yang salah...

akibatnya terlalu buruk.


Sebenarnya, pada siapa kita harus cinta?

Pada siapa kita mesti rindu? Mungkin ada diantara kita yang tertanya-tanya.

Pada kekasih hati? Atau si dia yang sentiasa diingati.

Oh, bukan, bukan...

Sebenarnya hati setiap manusia secara fitrahnya

mencintai dan merindui Allah. Kenapa dikatakan begitu?

Dan benarkah begitu?

Baiklah, mari kita fikirkan dan renungkan bersama...


Tidak ada seorang manusiapun yang tidak inginkan kebaikan,

kemuliaan dan kesempurnaan.

Ketika dilanda kemiskinan, manusia inginkan kekayaan.

Ketika dipinggirkan, kita inginkan kasih-sayang.

Ketika dizalimi, kita inginkan keadilan.

Baiklah, hakikat itulah bukti yang sebenarnya manusia cinta dan rindukan Tuhan.

Justeru, Tuhan sahaja yang memiliki

segala-gala yang diingini oleh manusia.
Bukankah Allah memiliki kekayaan yang diingini oleh si miskin?

Allah mempunyai kasih sayang yang diidamkan oleh mereka yang terpinggir.

Allah Maha Adil dan mampu memberi keadilan yang didambakan oleh yang tertindas.
Oleh kerana itulah Tuhan mempunyai nama-nama yang baik (Asmaul Husna),
yang menggambarkan keindahan,
keadilan, kasih-sayang yang segala sifat kesempurnaan-Nya.
Diantara nama-nama Allah itu ialah Al Adil (Yang Maha Adil)? Al Ghani (Maha Kaya)?
Ar Rahman (Maha Pengasih)? Dan Ar Rahim (Maha Penyayang)?


Sebutlah... apa sahaja keinginan manusia tentang kebaikan dan kesempurnaan,
maka di situ sebenarnya (secara langsung ataupun tidak),
manusia sedang merindui dan mencintai Allah.
Inilah rasa yang tidak dapat dihapuskan.
Selagi manusia punya hati dan perasaan.
Rasa bertuhan inilah yang menurut Imam Ghazali, tidak akan dapat dinafikan oleh hati sekalipun kerap dinafikan oleh sifat keegoan manusia.
Inilah benih rindu dan cinta yang telah dibina (‘install') secara fitrah
(tabie) dalam diri setiap manusia sejak di alam roh lagi.


Firman Allah: "Bukankah aku ini Tuhanmu?
Maka semua (roh manusia) menjawab: ‘Benar, kami (Engkaulah Tuhan kami) menjadi saksi." Al-A'raf : 172
Bahkan, pakar-pakar psikologi manusia juga turut mengakui.
Manusia sebenarnya mempunyai keinginan kepada suatu kuasa
yang dapat mengatasi segala kekurangan dan kelemahan.
Ini memang satu naluri yang semulajadi.


Jadi sedarlah. Apabila hati kita resah dan gelisah inginkan pembelaan,
hakikatnya pada ketika itu hati kita sedang merindui yang Maha Adil.
Ketika kasih-sayang terputus atau cinta terkandas,
kita inginkan sambungan... maka ketika itu sebenarnya kita sedang merindui
Ar Rahman dan Ar Rahim (Allah Yang Maha Pengasih dan Penyayang).
Ketika bersalah, kita merintih inginkan keampunan dan kemaafan,
maka pada saat itu kita sebenarnya merindui Al Ghafar (Pengampun)
dan mencintai Al Latif (Maha Lembut).
Semua keinginan itu hanya akan dapat dipenuhi
apabila manusia merapatkan dirinya kepada Allah.
Allah yang punya segala-galanya itu. Allah sentiasa mahu dan mampu memberi apa yang diinginkan oleh setiap manusia.
Firman Allah: "Dan Tuhan kamu berfirman:
Berdoalah kepada-Ku nescaya Aku akan perkenankan.
Sesungguhnya orang yang sombong takbur daripada beribadat dan berdoa kepada-Ku, akan dimasukkan neraka Jahanam dalam keadaan hina." Al-Mukmin : 60

Menerusi nama-nama Allah yang baik inilah seharusnya kita merintih,
merayu dan memohon kepada Allah.
Firman Allah: "Allah memiliki Asmaa' ulHusna,
maka memohonlah kepadaNya dengan menyebut nama-nama yang baik itu..."
Al A'raaf : 180

Manusia hakikatnya tidak punya apa-apa yang diingini oleh manusia lain.
Mereka mungkin mahu memberi, tetapi tidak mampu.
Ada pula yang mampu memberi tetapi tidak mahu melakukannya.
Mungkin hartawan punya harta, tetapi dia tidak punya sifat pemurah.
Mugkin ada si miskin punya hati yang pemurah,
tetapi tidak memiliki harta yang dipinta oleh si miskin yang lain.
Tegasnya, manusia tidak sempurna.
Hanya Tuhan yang mempunyai
segala apa yang diinginkan oleh seluruh manusia.
Ya, ditegaskan sekali lagi bahawa keinginan manusia kepada
satu kuasa yang Maha sempurna ini adalah lanjutan daripada
‘perkenalan' dan ‘percintaan' manusia dengan Allah di Alam Roh lagi
(yakni alam sebelum alam dunia ini) .
Bukankah sejak di alam roh lagi manusia
telah mengetahui dan mengakui akan kewujudan dan keagungan Allah.
Firman Allah: "Bukankah aku ini Tuhanmu? Maka semua (roh manusia) menjawab: ‘Benar, kami (Engkaulah Tuhan kami) menjadi saksi."
Al-A'raf : 172

Itulah pertanyaan Allah sekaligus keakuran roh manusia atas pertanyaan itu.
Ya, ketika itu semua roh manusia telah mengenali Allah.
Bukan itu sahaja, bahkan roh manusia telah mengakui Allah sebagai pemilik,
pentadbir dan pengatur alam ini. Inilah yang dimaksudkan
cintakan Allah itu adalah fitrah setiap hati.
Tetapi soalnya, mampukah cinta itu terus suci dan abadi
di dalam hati setiap manusia?

Sungguhpun begitu, perkenalan dan percintaan manusia
dengan Allah di alam roh itu kerap tercemar.
Sebaik sahaja lahir ke alam dunia, manusia yang dulunya
begitu mengenali dan mencintai
Allah mula dipisahkan daripada kecintaan dan kerinduannya itu.
Yang sejati luntur, yang ilusi muncul. Perkenalan dengan Allah mula dicemari.
Manusia mula dipisahkan dari Tuhan.
Dan amat malang, kerapkali yang
memisahkan anak-anak daripada Allah ialah ibu-bapa anak-anak itu sendiri.

"Setiap anak-anak dilahirkan putih bersih, kedua orang tuanyalah yang akan menjadikannya Yahudi, Majusi atau Nasrani."


Alangkah indahnya jika semua itu berjalan lancar.
Sejak kecil lagi putik cinta dan rindu Allah itu tumbuh,
berbunga dan akhirnya berbuah apabila menjelang dewasa.
Malangnya, ramai anak tidak diperkenalkan kepada Allah oleh ibu-bapanya.
Sebaliknya, didedahkan kepada unsur-unsur yang melindungi kebesaran Allah.
Seringkali, didikan, ajaran, malah lagu, filem,
bahan bacaan yang didedahkan kepada anak-anak
menggugat perkenalannya dengan Allah.

Akibatnya, kerinduan dan kecintaan yang sedia ada
di alam roh itu tidak bersambung, bahkan tercemar.
Cinta terputus di tengah jalan.
Setiap manusia memiliki hanya satu hati, tidak dua, tidak tiga.
Bila cinta Allah dicemari, cinta yang lain datang mengganti.
Dua cinta tidak akan berkumpul di dalam satu hati.
Hanya satu cinta akan bertakhta di dalam satu jiwa.
Bila cinta Allah terpinggir maka terpinggir jugalah segala kebaikan dan kesuciannya.
Maka yang tumbuh selepas itu ialah cinta selain
Allah seiring suburnya segala kejahatan dan kekejiannya!

Bagaimanakah caranyanya membersihkan semula hati yang telah dicemari dan diracuni?
Cukupkah hanya dengan ucapan dan penyesalan?
Ya, usaha untuk membersihkan hati adalah usaha yang sukar.
Tetapi hanya itulah satu-satunya jalan.
Tidak ada jalan mudah untuk mendapat cinta itu semula.
Setiap cinta menagih pengorbanan.
Begitulah jua cinta Allah.

Sabda Rasulullah:
"Iman itu bukanlah angan-angan, bukan pula ucapan, tetapi sesuatu yang menetap di dalam dada, lalu dibuktikan dengan perbuatan."

Perjuangan itu pahit, kerana syurga itu manis.
Kecintaan kepada Allah terlalu mahal.
Bayangkan untuk mendapat cinta seorang wanita yang rupawan,
jejaka yang hartawan, putera yang bangsawan,
itupun sudah terlalu sukar, maka apatah lagi
untuk mendapat cinta Allah zat yang Maha Agung dan Maha Sempurna itu.


Hadis Qudsi: Allah swt berfirman:
"Aku menurut sangkaan hamba kepada-Ku,
dan Aku bersamanya apabila dia ingat kepada-Ku.
Jika dia ingat kepada-Ku dan dalam dirinya maka
Aku mengingatnya dalam diri-Ku.
Jika dia ingat kepada-Ku dalam
kelompok orang-orang yang lebih baik dari kelompok mereka.
Jika dia mendekat kepada-Ku sejengkal maka
Aku mendekat kepadanya sehasta.
Jika dia mendekat kepada-Ku sehasta maka
Aku mendekat kepadanya sedepa.
Jika dia datang kepada-Ku dengan berjalan maka
Aku datang kepadanya dengan berlari-lari kecil. (Sahih Bukhari)


"Jagalah Allah, nescaya engkau akan temukan DIA di hadapanmu.
Kenalilah Allah ketika dalam keadaan lapang nescaya
DIA akan mengenalmu dalam keadaan sempit.
Ketahuilah segala sesuatu yang luput daripadamu
tidak akan menimpamu dan sesuatu yang menimpamu
tidak akan dapat luput darimu.
Ketahuilah bahawa kemenangan itu menyertai kesabaran,
kelapangan itu menyertai kesempitan dan kemudahan itu menyertai kesukaran."
Riwayat Ahmad, Hakim, Thabrani, Ibnu Sunni, Ajiri dan Dhiya'agal


Orang yang berdoa ialah orang yang mengakui segala
sifat kehambaannya di hadapan kekuasaan Allah.
Apakah sifat-sifat kehambaan itu?
Antaranya, rasa lemah, hina, jahil, miskin, berdosa,
hodoh dan segala sifat-sifat kekurangan. Berdoa ertinya kita menyerah pasrah kepada Allah.
Kita nafikan segala kelebihan diri.
Yang kita akui hanya sifat keagungan dan kebesaran Allah.
Lalu kita inginkan hanya bantuan-Nya.
Kita tagihkan simpati, kasihan dan keampunan-Nya sahaja.
Hanya dengan mengaku lemah di hadapan Allah
kita akan memperolehi kekuatan.
Hanya dengan mengaku miskin di hadapan Allah kita akan dikayaka-Nya.
Tegasnya, hanya dengan merasai segala sifat kehambaan
barulah kita akan mendapat kekuatan,
kemuliaan dan kelebihan dalam mengharungi hidup yang penuh cabaran ini.


Jika Allah berikan harta,
kita gunakan ke arah kebaikan dan kebajikan.
Jika diberi ilmu, kita mengajar orang lain.
Diberi kuasa, kita memimpin dengan adil dan saksama!
Syukur itulah tujuan utama kita dikurniakan nikmat.
Ertinya, kita kembalikan nikmat kepada yang Empunya nikmat (Allah).


  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS
Read Comments

Ganjaran dunia & akhirat bg yg berpuasa

Assalamualaikum..
Abu Hurairah ra. meriwayatkan bahawa
Rasulullah SAW bersabda:
"Umatku telah dikurniakan dengan lima perkara
yang istimewa yang belum pernah diberikan
kepada sesiapa pun sebelum mereka.
Bau mulut daripada seorang Islam yang berpuasa adalah
terlebih harum di sisi Allah daripada bau haruman kasturi.
Ikan-ikan di lautan memohon istighfar (keampunan)
ke atas mereka sehinggalah mereka berbuka puasa".
Allah mempersiapkan serta menghiasi jannah
yang khas setiap hari dan kemudian berfirman kepadanya:
"Masanya telah hampir tiba bilamana hamba-hambaKu
yang taat akan meninggalkan segala halangan-halangan yang besar
(di dunia) dan akan mendatangimu."
Pada bulan ini syaitan-syaitan yang durjana
dirantaikan supaya tidak menggoda mereka ke arah
maksiat-maksiat yang biasa mereka lakukan
pada bulan-bulan selain Ramadhan.
Pada malam terakhir Ramadhan (orang-orang yang berpuasa ini)
akan diampunkan." Maka sahabat-sahabat Rasulullah SAW pun bertanya:
"Wahai Pesuruh Allah, adakah itu malam lailatul Qadar?
" Dijawab oleh Rasulullah SAW:
"Tidak, tetapi selayaknya seorang yang beramal
itu diberi balasan setelah menyempurnakan tugasnya."



Puasa ertinya menahan diri daripada makan dan minum
dan dari segala perbuatan yang boleh membatalkan puasa,
mulai dari terbit fajar hinggalah terbenam matahari dengan niat.
Umat Islam juga dikehendaki menahan diri daripada menipu,
berkata-kata yang buruk atau sia-sia,
dan daripada bertengkar atau bergaduh.
Ini kerana puasa merupakan medan latihan kesabaran,
kejujuran dan bertolak ansur sesama sendiri.
Maka secara tidak langsung,
puasa juga menolong menanam sikap yang baik dan berbudi.
Dan kesemuanya itu diharapkan berlanjutan ke bulan-bulan berikutnya,
dan tidak hanya pada bulan puasa.



Allah telah berfirman di dalam Quran yang maksudnya:
" Wahai orang-orang yang beriman,
telah wajib ke atas kamu berpuasa sebagaimana
telah diwajibkan ke atas umat-umat yang sebelum kamu,
semoga kamu menjadi orang yang bertakwa."


Surah Al Baqarah, ayat 183



Ditegaskan oleh Rasulullah SAW melalui sabdanya yang diriwayatkan oleh Ahmad,
An- Nasa'i dan Al Baihaqi dari Abu Hurairah,
yang bermaksud:
"Sesungguhnya telah datang kepada kamu bulan Ramadhan
bulan yang penuh berkat.
Allah telah fardhukan ke atas kamu berpuasa padanya.
Sepanjang bulan Ramadhan itu dibuka segala pintu Syurga
dan ditutup segala pintu neraka serta dibelenggu segala syaitan......."
MENURUT Imam Ibn Qudamah al-Maqdisi:
“Hikmah ialah gabungan antara ilmu dan amalan.
” Ibn Qutaibah menyatakan bahawa
“Tidaklah seseorang dinamakan hakim (bijaksana)
sehingga disekalikan antara ilmu dan amalan.
” Hikmah juga bermaksud rahsia atau maksud yang tersirat
yang kadang-kadang di luar jangkauan batasan akal manusia.
Sebagaimana diketahui, puasa pada bulan Ramadan adalah ibadat
yang difardukan oleh Allah. Kita melaksanakan
tanggungjawab keimanan kepada-Nya tanpa memandang
kepada sebarang kemungkinan yang berlaku
sebagai natijah daripada ibadat tersebut.
Begitu juga ibadat puasa yang mempunyai beberapa
hikmah dan faedah yang mungkin diketahui oleh sesetengah
orang tetapi banyak yang masih tersembunyi daripada pengetahuan kita.
Antara hikmah dan faedah puasa yang mungkin dapat dirumuskan ialah

Puasa yang sempurna akan menyedarkan hati orang yang beriman

bahawa dirinya di bawah perhatian Allah.

Ini kerana orang yang berpuasa akan berasa lapar dan dahaga

sebaik sahaja dia melalui sebahagian daripada waktu siangnya.

Nafsunya ingin makan dan minum namun perasaan

yang menyedari dirinya berpuasa menghalang keinginan tersebut

kerana dia melaksanakan perintah Allah.

Dalam menghadapi pertentangan ini,

hatinya sedar akan pemerhatian Allah terhadapnya,

lantas mengingati ketuhanan Allah dan keagungan kekuasaan-Nya

di samping sentiasa menyedari bahawa dirinya hamba yang tunduk patuh

kepada hukum Allah dan menurut segala kehendak-Nya.

Mengikut sebuah hadis,

syaitan berjalan dalam tubuh anak Adam mengikut perjalanan darah.

Justeru hendaklah kamu sempitkan perjalanannya dengan cara lapar.

Dalam erti kata lain berpuasa boleh melawan kehendak syaitan dan seterusnya

mengikut kehendak Allah. Ini bermakna orang yang berpuasa tidak terpengaruh

dengan pujuk rayu syaitan tetapi mempunyai tahap keimanan yang kukuh

lagi ampuh untuk menghadapi segala cabaran kehidupan.

Mengikut sebuah hadis, Rasulullah pernah bersabda:

Berpuasalah kamu nescaya kamu sihat.

Dalam Islam, kesihatan terbahagi kepada dua iaitu rohani atau jasmani.

Apa yang uniknya, puasa dapat menyembuhkan penyakit rohani dan jasmani

dan menggantikan kesihatan untuk kedua-duanya.

Ini terbukti dengan pengesahan oleh pakar-pakar perubatan moden bahawa

amalan berpuasa boleh menaiktarafkan kesihatan seseorang.

Kesihatan rohani sudah dinyatakan oleh Allah dalam konteks natijah puasa iaitu takwa.

Tidak diragui lagi bahawa kasih sayang Allah terhadap hamba-Nya dan

hamba pula menghampirkan diri kepada-Nya

akan menjauhkan mereka daripada maksiat,

mendekatkan diri kepada mentaati-Nya, dan segera membuat amal kebajikan.

Oleh itu, mereka sentiasa dalam keadaan yang betul dan

kehidupan yang sempurna.


Semoga puasa yang kita lakukan diterima sama ada puasa perut

daripada makanan, faraj daripada mengikut syahwat,

mata daripada memandang yang haram, telinga daripada mendengar yang haram,

tangan daripada mengambil yang haram,

kaki daripada pergi ke tempat yang dimurkai Allah,

lidah daripada segala kata nista dan cela dan seterusnya hati daripada nifaq dan segala sifat mazmumah.

Insya-Allah takwa daripada ibadat puasa akan bersama dengan kita. Amin.




Selamat berpuasa!



  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS
Read Comments